Khamis, 1 November 2012

SELOKA LOGHAT

Situasi 25

Hari: Jumaat
Tarikh: 2 November 2012

Semasa saya sedang asyik mencari maklumat di internet, saya terjumpa satu blog yang menarik perhatian saya. Blog ini menceritakan tentang bahasa yang terdapat di setiap daerah di Malaysia. Antara yang menarik dipamerkan ialah seloka loghat neger-negeri di Malaysia.


Seloka Loghat Negeri2 Di Malaysia!!
Kelantan…
Make ikke cicoh budu
Jange lupo tamboh satar
Kelik rayo taksir laju
Nanti rayo dale sepita

Terengganu…
Makang ubi jamang jepong
Makang kepok cicah cuke
Bulang pose mung bengong
Bulang raye mung gile
Pahang…
Sepadan Pahang ada kasino
Nasi dagang ikan patin
Jange mu masam muko
Raya makan rendang sadin

Johor…
Cegitu cegini awak suke
Awak suke kite tak suke
Esok luse hari raye
Sama-sama bersuke rie

Melaka…
Hawau kau berak merate
Kaki bengkak ulau patok
Kalu balik naik kerete
Jangan pandu kalau ngantok

N. Sembilan…
Masak lomak cili api
Campo dongan! daun turi
Hari rayo kolumpo sopi
Tinggal penyamun dongan pencuri
(org kolumpo jgn kocik ati!!)

Selangor/K.Lumpur…
Wa cakap lu wa tak tau
Tapi wa tipu sama lu
Raya jangan buat tak tau
Angpau ada bagi gua dulu

Perak…
Gulai tempoyak ikan mayong
Deroyan busok tebok tupai
Pandu hemat ingat kampong
Asal teman selamat sampai

Kedah…
Aloq Staq terketaq-ketaq
Lapaq perut makan pau
Macam mana tak ketaq
Kena paksa bagi angpau

Penang…
Nasi kandaq kedai mamak
Anak mami juai pesemboq
Lepas raya usah dok triak
Kalu ceti mai ikut dapoq

Perlis…
Padang besaq kecik aja
Tempat siam lalu lalang
Hari raya kita berbelanja
Jangan sampai menambah utang


Ulasan:

Setiap negeri yang terdapat di Malaysia ini mempunyai loghat yang tersendiri. Walaupun mereka menggunakan satu bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu, namun loghat-loghat yang terdapat dalam setiap negeri ini telah menjadikan bahasa Melayu ini berbeza jika didengar. Hal inilah yang menjadi keunikan bagi neraga Malaysia.

LOGHAT JOHOR

Situasi 24


Hari: Selasa
Tarikh: 30 Oktober 2012

Hari ini, rakanku datang ke rumah bagi menyiapkan tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah kepada kami. Kebetulan pula, kami tinggal di dalam daerah yang sama. Kesempatan yang ada ini kami gunakan untuk berjumpa dan menyelesaikan tugasan kami. Rakanku mengambil keputusan untuk bermalam di rumahku memandangkan banyak tugasan yang perlu kami selesaikan bersama. Apabila malam menjelma, ibuku menyediakan selimut untuk rakanku ini. Namun, bagi kami orang Johor kami biasa memanggil selimut sebagai gebor. Bagi kami orang Johor, perkataan ini sudah menjadi kebiasaan kerana sering digunakan.

Ulasan:

Gebor merupakan bahasa Jawa yang bermaksud selimut dalam bahasa Melayu. Terdapat banyak lagi pengaruh bahasa Jawa dalam perbualan seharian bagi orang Johor. Walaupun. Johor tidak mempunyai dialek yang pekat seperti Kelantan dan Terengganu tetapi bahasa yang dituturkan oleh orang Johor tetap mempunyai kelainannya.



EPOK-EPOK

Situasi 23


Hari: Ahad
Tarikh: 28 Oktober 2012

Pagi ini saya dan keluarga dihidangkan dengan beberapa jenis kuih untuk sarapan pagi. Antaranya ialah kuih karipap, namun bagi orang Johor kuih karipap ini biasanya akan dipanggil sebagai epok-epok. Emak telah menyusuh saya menghidangkan kuih ini kepada ahli keluarga yang lain.

Ayat yang diuangkapkan:

Emak: Kak, letak epok-epok ni atas pinggan, hidangkan kat atas meja tu.
Saya: Mak, kalau kat tempat lain kuih ni orang panggil karipap.
Emak: Memang orang Johor je yang biasa panggil kuih ni epok-epok.




Ulasan:

Setiap negeri mempunyai keistimewaannya yang tersendiri sama ada daripada segi budaya mahupun bahasa. Tidak kurang juga dengan negeri Johor. Walaupun Johor tidak mempunyai loghat yang kerata seperti negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan negeri-negeri lain, namun, Johor tetap mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dalam bahasa yang berbeza dengan negeri lain. 

SUP KOTAK GEAR

Situasi 22


Hari: Jumaat
Tarikh: 26 Oktober 2012

Hari ini merupakan hari raya Aidiladha yang disamput oleh umat Islam seluruh dunia. Ibadah korban dilakukan di seluruh negara. Tidak terlepas juga ibadah korban yang dilakukan di kampung saya. Selepas gotong-royong yang dilakukan untuk ibadah korban tersebut, daging-daging diagihkan kepada orang ramai. Tulangnya pula akan dibuat sup tulang, namun yang menjadi kemusykilan saya ialah mengapa sup tulang ini dipanggil sup gearbox.




Ulasan:

Gearbox merupakan perkataan yang diambil daripada bahasa Inggeris yang menunjukkan satu alat ganti yang terdapat pada kenderan dan dalam bahasa Melayu pula bermaksud kotak gear. Namun, mengapa sup tulang ini dipanggil sup gearbox dan kalau dalam bahasa Melayu pula akan menjadi sup kotak gear. Tidak salah sekiranya masyarakat telah terbiasa memanggil sup ini dengan nama sup gearbox, namun dalam sistem bahasa Melayu apabila perkataan yang berbahasa Melayu dicampurkan dengan perkataan bahasa Inggeris ia tidak boleh digunakan dalam situasi formal. Namun, dalam sosiolingusitik keadaan ini boleh diterima sekiranya masyarakat bersetuju dengan nama yang diberikan ini.   

LAGU RAYA


Situasi 21

Hari: Khamis
Tarikh: 25 Oktober 2012

Hari raya Aidiladha akan tiba pada hari esok. Saya dan rakan-rakan mengambil peluang untuk pulang ke kampung masing-masing pada hari ini. Semasa saya berada dalam perjalanan pulang ke kampung, saya sempat mendengar lagu raya yang berkumandang di radio teksi yang saya naiki. Lagu ini didendangkan oleh Anuar Zain dan Elina. Lagu yang berjudul Suasana Hari Raya ini sering kali berkumandang di corong-corong radio apabila tibanya hari raya terutamanya apabila tiba hari raya Aidilfitri. Lagu ini akan menjadi lagu wajib yang akan diputarkan di radio secara berulang-ulang kali. Ketika saya asyik menghayati bait-bait kata di dalam lagu ini, saya dapati terdapat perkataan yang salah dalam sistem bahasa Melayu.

Contohnya:

Kuih dan muih beranika macam
Makanlah jangan hanya di pandang 



Ulasan:

Kuih-muih merupakan kata ganda dalam bahasa Melayu, kata ganda dieja dengan meletakkan tanda sempang antara dua perkataan. Kuih dan muih yang disebut dalam lagu telah menunjukkan dua benda yang berbeza. Olah itu, terdapat kesalahan tatabahasa dalam lagu yang didendangkan ini. 

Sabtu, 20 Oktober 2012

KEUNIKAN BAHASA

Situasi 20


Hari: Khamis
Tarikh: 19 Oktober 2012

Selepas kuliah saya tamat pada jam 10.00 pagi. Saya dan rakan-rakan mengambil keputusan untuk pergi ke perpustakaan untuk berbincang mengenai tugasan yang telah diberikan kepada kami. Selepas hampir dua jam kami di perpustakaan, kami mengambil keputusan untuk pulang ke kediaman masing-masing. Satu perkara yang menarik perhatianku pada ketika ini telah berlaku. Rakanku yang berasal dari Sabah mengatakan bahawa dia ingin cepat pulang kerana hendak membubut bas. Kami yang berasal dari semenanjung langsung tidak mengerti dengan apa yang dibicarakannya. Setelah kami bertanya barulah kami faham bahawa membubut itu bermaksud mengerjar.

Ulasan:

Bahasa ini luas sifatnya dan seronok sekiranya kita mengetahui banyak bahasa. Apabila kita bercampur dengan orang yang berasal dari negeri yang berbeza, kita dapat mempelajari pelbagai bahasa dan menambahkan bahasa yang kita ada dalam pengetahuan kita.



BELA = BAIKI

Situasi 19


Hari: Rabu
Tarikh: 17 Oktober 2012

Saya dan rakan-rakan pergi ke kedai yang terdapat di hadapan kampus setelah tamat kuliah kami pada pagi ini. Tujuan utama kami adalah untuk membeli beberapa keperuan dapur yang hampir habis di rumah sewa kami. Semasa melalui kedai yang menjual alatan computer, salah seorang rakan saya tiba-tiba memberitahu kami bahawa dia terlupa membawa laptopnya untuk diformat semula.

Rakan: Ala korang aku lupa la nk bawa laptop. Laptop aku tak dibela lagi.
Saya: Kau nak bela laptop buat apa?
Rakan: Maksud aku bela tu baiki la.

Ulasan:

Kadang-kala sesuatu perkataan bahasa Melayu mempunyai banyak maksud mengikut daerah atau dialek sesuatu tempat. Seperti situasi di atas, biasanya bela membawa maksud memelihara, namun bagi orang negeri Pahang mereka memaksudkan bahawa bela itu sebagai membaiki.

SEMINAR BAHASA MELAYU

Situasi 18


Hari : Selasa
Tarikh: 16 Oktober 2012

Seminar Memartabatkan  Bahasa Melayu telah diadakan di SITC, UPSI yang berlangsung selama dua hari. Sepanjang seminar ini berlangsung terdapat pelbagai maklumat-maklumat baharu yang boleh saya dapati.banyak ilmu yang telah dikongsikan oleh setiap pembentang bagi memertabatkan lagi Bahasa Melayu di negara-negara serantau. Dalam seminar ini terdapat juga pembentang yang berasal daripada beberapa buah negara seperti Indonesia dan Singapura. Mereka juga berusaha bagi memperkembangkan lagi Bahasa Melayu. Setiap pembentangan disampaikan dalam Bahasa Melayu, namun terdapat juga sedikit perbezaan sebuatan antara pembentang dari negara Malaysia, Singapura dan Indonesia. Perbezaan ini telah menjadikan bahasa Melayu menjadi lebih cantik.



Ulasan:

Banggalah dengan bahasa kita kerana bahasa menunjukkan sesuatu bangsa itu. Walaupun Malaysia, Indonesia dan Singapura menggunakan bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu, namun masih terdapat beberapa perbezaan daripada segi kosa kata dan sebutan yang jelas untuk mencerminkan identiti setiap negara. Keadaan ini yang menjadikan bahasa itu lebih menarik untuk didengari. 

SENYUMLAH

Situasi 17

Hari: Ahad
Tarikh: 14 Oktober 2012

Hari ini saya dan rakan-rakan dalam perjalanan untuk pergi ke Baling, Kedah. Kami melalui lebuh raya utara-selatan untuk sampai ke destinasi yang kami tuju. Semasa melintasi tol untuk membayar tambang perjalanan kami, terdapat seorang wanita yang menjaga tol tersebut. Rakan saya dengan ramah mesranya menegur wanita tersebut dengan senyuman semasa membuat pembayaran. Namun, senyuman dan tegurannya hanya dibalas dengan riak muka yang masam sahaja.


Ulasan:

Senyuman itu sedekah. Tidak salah kita memberikan senyuman kepada orang lain. Sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai sifat nilai-nilai murni yang baik, kita harus menunjukkan sikap yang baik kepada orang ramai. Sikap yang baik ini akan disenangi oleh setiap orang yang melihatnya. Oleh itu, belajarlah untuk berbudi bahasa bagi mencerminkan sikap rakyat Malaysia yang sopan santun dan mempunyai berbudi pekerti yang baik.








SALAH FAHAM

Situasi 16


Hari: Sabtu
Tarikh: 13 Oktober 2012

Hari ini aku bersama kumpulan tugasanku telah pergi ke Kedah untuk menyiapkan kajian lapangan kami. Semasa perjalanan ke sana, kami telah singgah di rumah kakak kepada kawanku. Kakak kawanku bersembang dengan adiknya dengan menggunakan loghat Kedah. Kami agak sukar untuk memahaminya. Kakak kawanku itu telah bertanya kepada adiknya sama ada adiknya itu hendak ke kampung Tiak atau tidak. Bagi aku dan rakan-rakan yang lain, kami menganggap bahawa Tiak yang disebut itu merupakan nama orang. Tetapi rupanya Tiak tersebut merupakan nama tempat iaitu sebuah kampung yang terdapat di Kedah.

Ulasan:

Sesuatu perkataan atau bahasa yang digunakan boleh mengelirukan pendengar terutamanya bahasa yang digunakan merupakan bahasa dalam bentuk loghat. Oleh itu, kita sebagai pendengar janganlah terlalu cepat menilai atau membuat kesimpulan sekiranya perkataan yang didengar itu tidak kita fahami. Sebaiknya selidik dan bertanyalah dahulu sebelum membuat sesuatu kesimpulan.

Jumaat, 12 Oktober 2012

Cara Duduk


Situasi 15

Hari : Jumaat
Tarikh : 12 Oktober 2012

Pada hari Rabu yang lepas, saya dan rakan-rakan telah turun berjoging di sekitar kawasan rumah sewa kami pada waktu petang. Setelah penat berjoging kami duduk di tepi sungai yang terdapat di kawasan ini sambil menikmati pemandangan dan menghidup udara segar di waktu petang. Ketika ini, salah seorang rakan saya telah duduk dalam keadaan mencangkung kerana tidak mahu bajunya kotor akibat duduk di atas tanah. Seorang lagi rakan saya yang turut bersama kami telah menegur rakan saya ini dengan menggunakan perkataan atau loghat Terengganu. Perkataan yang digunakan ialah mencokoh yang bermaksud mencangkung. Kami yang telah kenal lama dapat memahami bicara yang dituturkan walaupun kami tidak berasal dari negeri yang sama.

Ulasan:

Bahasa yang dituturkan oleh setiap penutur akan menggambarkan identiti penutur tersebut. Setiap negeri di Malaysia ini mempunyai loghat bahasa yang tersendiri walaupun menggunakan bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu. Namun, apabila kita sudah biasa bercampur dengan orang yang berasal dari negeri yang berlainan dengan kita. Tutur bicara mereka yang biasa didengar akan dapat difahami dengan mudah. Keadaan ini akan menambah lagi kosa kata bahasa Melayu yang kita ketahui. 




Bahasa SMS


Situasi 14

Hari : Khamis
Tarikh : 11 Oktober 2012

Malam ini latihan drama bagi subjek kesusasteraan yang saya ambil berjalan seperti biasa. Apabila tamat latihan drama ini pada jam 11.00 malam. Saya dan rakan-rakan segera pulang ke rumah. Semasa perjalanan pulang, seorang sahabat telah menghantar pesanan ringkas ke telefon bimbit saya. Dia menaip pesanan ringkas itu dengan menggunakan bahasa yang ditulis dengan menggunakan singkatan perkataan.

Ayatnya seperti:

Sahabat : Ko wt pe 2? Sbk x?
Saya : Bru nak blik lthn drama kt kmpus. Nape?
Sahabat : Ade hal nk bncg skt ni. Psl tugsn. Ko dh pai umh t bg taw k.





Ulasan :

Sistem pesanan ringkas atau SMS merupakan satu sistem yang dibangunkan untuk menghantar sesuatu pesanan kepada seseorang dengan menggunakan tulisan tanpa perlu berkata-kata. Sistem ini dicipta seolah-olah untuk menggantikan sistem penulisan surat yang digunakan suatu masa dahulu. Penggunaan sistem ini akan menjadikan sesuatu maklumat yang ingin disampaikan itudapat disampaikan dengan cepat. Kelebihan terciptanya sistem ini tidak dapat dinafikan. Kebiasaan orang akan menggunakan bahasa dan tulisan yang ringkas untuk menyampaikan pesanan, namun penggunaan bahasa ringkasan ini perlulah dapat difahami oleh penerima pesanan. Jika tulisan yang digunakan terlalu ringkas, pesanan mungkin tidak dapat difahami oleh penerima pesanan. Oleh itu, jagalah bahasa dan pastikan tulisan yang ditaip tidak terlalu ringkas agar pesanan yang disampaikan dapat difahami dengan baik dan jelas. 

Perkataan Sama Makna Lain


Situasi 13

Hari : Rabu
Tarikh : 10 Oktober 2012

Satu perjumpaan telah diadakan oleh kumpulan saya untuk menyiapkan satu tugasan berkumpulan. Kami berkumpul untuk membincangkan perancangan rapi bagi menyempurnakan tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah kami. Perjumpaan ini diadakan berhampiran kediaman saya. Semasa perbincangan dijalankan, salah seorang rakan saya telah mengeluarkan perkataan kasut yang merujuk kepada selipar semasa sedang bersembang dengan rakan saya yang lain.

Ayatnya seperti:

Rakan 1 : Cantiknya kasut yang kau pakai tu. Kau beli kat mana?
Rakan 2 : Mana ada aku pakai kasut, kan aku pakai selipar ni.
Rakan 1 : Maksud aku selipar la. Aku dah biasa cakap selipar ni sebagai kasut jugak.

Ulasan :

Penggunaan bahasa ini sangat meluas sifatnya. Satu perkataan juga kadang kala boleh membawa pelbagai maksud. Keadaan ini bergantung kepada penutur yang menuturkannya. Perkara ini sering berlaku dalam kalangan masyarakat terutama masyarakat yang datangnya dari daerah atau negeri yang berlainan. Namun, ianya tidak menjadi penghalang untuk masyarakat tersebut berkomunikasi kerana perkara yang paling penting adalah bahasa tersebut boleh diterima oleh orang lain yang menjadi pendengar.




Selipar

                                              

Kasut

Pelbagai Bahasa


Situasi 12

Hari : Selasa
Tarikh : 9 Oktober 2012

Seminar Dahwah Islamiah Nasional telah diadakan bertempat di Dewan Merdeka PWTC. Saya merupakan salah seorang peserta yang hadir semasa seminar ini berlangsung. Banyak pengisisan yang dapat dijadikan pengajaran dalam kehidupan seharian. Suatu perkara yang membuat saya tertarik ialah percampuran penggunaan tiga bahasa dalam satu pembentangan kertas kerja. Pembentang kertas kerja ini telah menggunakan bahasa Melayu, bahasa Arab dan bahasa Inggeris dalam pembantangan kertas kerjanya. Situasi ini menjadikan pembentangannya lebih menarik untuk didengar kerana seminar ini bukan sahaja dihadiri oleh peserta dalam negara sahaja, malah turut dihadiri oleh peserta dari luar negara.




Ulasan:

Percampuran bahasa boleh membawa kesan positif dan negetif bergantung kepada tujuan penggunaannya. Jika percampuran bahasa ini digunakan dalam situasi yang dihadiri oleh hadirin dari pelbagai negera maka penggunaannya akan menjadi positif kerana penggunaan pelbagai bahasa dalam penyampaian ini akan memudahkan lagi hadirin dari luar negara untuk memahami maklumat yang disampaikan oleh penyampai. Namun, sekiranya penggunaan pelbagai bahasa ini digunakan dalam situasi yang dihadiri oleh orang-orang Melayu sahaja terutama di kawasan-kawasan pedalaman, penggunaan pelbagai bahasa ini akan menjadi salah satu faktor yang akan menyebabkan sesuatu komunikasi itu terganggu dan tidak berkesan.

Kedai Makan


Situasi 11

Hari : Isnin
Tarikh : 8 Oktober 2012

Hari ini saya pergi ke kedai makan yang letaknya di bawah rumah sewa saya. Saya ke sana untuk makan malam bersama rakan-rakan. Setelah menunggu beberapa ketika , seorang pelayan datang ke arah kami dengan membawa senarai menu di tangannya. Apabila saya meneliti senarai menu tersebut, saya dapati banyak kesilapan ejaan dalam senarai menu tersebut. Antara perkataan yang jelas salah dieja ialah perkataan ‘teh’ bertukar menjadi the.




Ulasan:

Kesalahan ejaan merupakan perkara yang biasa berlaku dalam kehidupan seharian kita. Apabila menggunakan komputer atau teknologi ini untuk menaip, kadang kala terdapat beberapa perkataan yang dieja akan berubah mengikut sistem ejaan bahasa Inggeris. Oleh itu, kita perlulah berhati-hati dan menyemak semula setiap perkataan yang dieja ini agar tidak berlaku kesalahan ejaan menurut sistem ejaan bahasa Melayu yang sebenar.

Sabtu, 6 Oktober 2012

Kata Ganti Nama Diri


Situasi 10

Hari : Jumaat
Tarikh : 5 Oktober 2012

Selepas kuliah tamat, saya segera ke tempat menunggu bas untuk pulang ke rumah. Semasa sedang menunggu bas saya terdengar perbualan beberapa orang pelajar. Mungkin mereka pelajar yang mengambil program Bahasa Arab. Mereka telah menggunakan kata ganti nama diri yang berbeza dengan Bahasa Melayu.

Pelajar 1 : Ana mahu beli makanan dulu ni.
Pelajar 2 : Ente temankan ana beli makanan la. Jom pergi.

Ulasan :

Penggunaan kata ganti nama diri sangat penting bagi menunjukkan kedudukan, taraf sosial seseorang dan sebagainya. Dalam perbualan seharian, kebiasaannya remaja akan menggunakan aku dan kau sebagai kata ganti nama diri untuk menunjukkan kemesraan dalam hubungan. Namun, penggunaan kata ganti nama diri seperti ana dan ente ini juga turut boleh digunakan dalam perbualan seharian malah penggunaannya lebih lembut berbanding dengan aku dan kau.

Salah Ejaan


Situasi 9

Hari : Khamis
Tarikh : 4 Oktober 2012

Hari ini, saya menggunakan google untuk mencari sesuatu gambar yang boleh digunakan untuk tujuan pembentangan bagi tugasan yang diberikan oleh pensyarahku. Saya tertarik dengan satu gambar yang saya perolehi. Jika kanak-kanak yang melihat gambar ini, pasti mereka boleh tersalah anggap dengan tulisan yang terdapat dalam gambar tersebut.






Ulasan :

Sistem ejaan sangat penting dalam menyampaikan sesuatu maksud kepada orang ramai. Jika kita tersalah mengeja, besar kemungkinan maklumat yang ingin disampaikan itu tidak akan difahami oleh orang ramai dan boleh juga menyebabkan berlakunya salah faham. Semaklah ejaan agar maklumat yang ingin diberikan sampai dengan betul kepada orang ramai.

Cerita ‘P’


Situasi 8

Hari : Rabu
Tarikh : 3 Oktober 2012

Petang ini, saya dan rakan-rakan duduk berkumpul di bawah sebatang pokok yang terdapat di kampus bagi menunggu waktu kuliah yang seterusnya bermula.  Sewaktu kami berbicara mengenai tugasan yang semakin banyak diberikan oleh pensyarah untuk disiapkan, salah seorang rakan saya mengadu bahawa dia berada dalam keadaan tertekan untuk menyiapkan segala tugasan yang diberikan. Rakan seorang lagi pula telah memberikan kami satu keratan kecil cerita untuk kami baca bagi menghilangkan tekanan yang dihadapi.


Ceritanya berbunyi seperti ini:

Paklong Punya Pasal, Pagi-Pagi Pakngah Pergi Pasar. Paklong Pesan Pulut Panggang. Parking Pulak Punyalah Payah. Pakngah Pun Pelik, Pasal Pulak Pagi-Pagi Payah Parking. Pakngah Pun Pusing-Pusing Perhati Parking. Pusing Punya Pusing, Pakngah Pun Pening. Penyudahnya Pakngah Parking Pinggir Parit.

Pening-Pening Pun Perut Pakngah Perlu Penuh. Pakngah Pun Pergilah Pekena Pasembor. Pasembor Pulak Punyalah Pedas. Pergh ! Pedas-Pedas Pun Pakngh Pulun. Pakngah Pulun Pelan-Pelan Pasal Pedas. Pastu Pakngah Pun Pulang.

Kami diminta membaca cerita tersebut dengan kuat. Masing-masing tergelak apabila setiap orang di antara kami membacanya. Terdapat juga rakan-rakan yang salah menyebut semasa membaca cerita ini.

Ulasan:

Bahasa juga boleh digunakan sebagai alat untuk menghilangkan tekanan. Bahasa merupakan sesuatu yang boleh di ubah mengikut situasi-situasi tertentu. Hal ini menjadikan bahasa itu semakin unik apabila digunakan dalam pelbagai cara.

Peribahasa

Situasi 7

Hari : Selasa

Tarikh : 2 Oktober 2012

Hari ini, saya masih sempat melayari internet dan membuka facebook atau muka buku untuk melihat perkembangan semasa. Zaman kini, perkembangan teknologi sangat pesat membangun. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana segala perkembangan terkini akan segera diberitahu melalui laman sesawang tersebut. Sedang asyik melihat perkembangan terkini, saya terpandang beberapa komen yang menggunakan peribahasa sebagai alat untuk berkomunikasi secara tidak formal.



Cik Nur Adilah menyelam smbil minum air la...hahaha
11 minutes ago · Like
Mohamad Sufi xpela..bak kata cikgu sediakan payung sblm hujan..hahahahahaha
5 minutes ago · Like


Ulasan :

Perkembangan turut dapat memperkembangkan lagi bahasa Melayu. Jika kita lihat situasi sekarang, tidak ramai golongan muda yang mahu menggunakan bahasa-bahasa halus seperti kiasan dan peribahasa apabila berkata-kata. Mungkin kerana tidak ramai yang faham dengan maksud tersirat di sebalik penggunaan kata-kata yang halus ini. namun, masih terdapat lagi sekumpulan kecil anak muda yang mahu menggunakan peribahasa dalam kehidupan seharian mereka. Hal ini menunjukkan satu perkembangan yang positif terhadap bahasa Melayu.

Loghat Cina

Situasi 6

Hari: Isnin
Tarikh: 1 Oktober 2012

Malam ini, latihan bagi kelas drama telah diadakan di dalam fakulti bahasa dan komunikasi. Kami diminta berkumpul di sana tepat jam 8.00 malam. Tugasan telah diberikan dan masing-masing menjalankan tugas yang diberikan dengan baik. Bagi para pelakon, mereka diminta untuk melakonkan watak-watak yang telah diberikan. Semasa latihan drama ini dijalankan, salah satu watak yang terdapat dalam drama ini telah menggunakan bahasa Melayu yang bercampur dengan loghat cina.

Ayatnya seperti:


Lu mesti cari dan bawa dia ke mali. Kalau tidak lu punya kepala putus aku penggal. Sikalang pergi cari sampai dapat!

Ulasan:

Dalam kehidupan seharian, terdapat pelbagai bahasa yang dituturkan. Bahasa Melayu yang bercampur dengan loghat Cina ini sering kita dengar apabila pergi ke kedai-kedai yang dimiliki oleh orang Cina. Penggunaannya  tidak dianggap salah dalam kalangan masyarakat Melayu kerana mereka juga sering menggunakan bahasa seperti ini. Namun, jika kita mengikut sistem bahasa yang sebenar, penggunaan bahasa seperti ini jelas salah dalam sistem bahasa Melayu.


Ahad, 30 September 2012

Tajuk Buku


Situasi 5

Hari : Sabtu
Tarikh : 29 September 2012

Kolej Za’ba telah mengadakan Karnival Kesenian Islam selama beberapa hari. Pada hari ini, saya sempat singgah di sana bersama beberapa orang rakan saya yang lain. Terdapat banyak aktiviti yang dijalankan semasa kami di sana. Selain itu, terdapat juga beberapa gerai yang menjual pelbagai jenis barangan termasuk pakaian, buku dan makanan. Saya sempat singgah di sebuah gerai yang menjual pelbagai jenis buku. Namun saya tertarik dengan tajuk dua buah buku yang dijual di sana. Buku tersebut berjudul ‘online dengan Tuhan’ dan ‘offline dengan syaitan’.




Ulasan:

Walaupun tajuk buku tersebut menggunakan percampuran bahasa, namun tajuk sebegitu mampu menarik minat pembaca untuk membelinya. Memandangkan zaman sekarang merupakan zaman yang pesat dengan perkembangan teknologi terutama penggunaan ‘muka buku’ atau ‘facebook’, perkataan online dan offline ini amat sinonim dengan teknologi tersebut. Hal ini, dapat menarik minat remaja untuk membaca.

Percampuran Kod Bahasa


Situasi 4

Hari : Khamis
Tarikh : 27 September 2012

Hari ini saya sempat membaca sebuah blog berkaitan dengan remaja. Cara penyampaiannya mudah difahami oleh pengunjung blog tersebut, namun terdapat beberapa perkataan yang menarik perhatian saya ketika sedang membacanya. Percampuran bahasa antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris membuat saya tertanya-tanya mengapa terlalu ramai remaja yang gemar menggunakan percampuran kod bahasa ini ketika menulis. Contoh percampuran kod bahasa yang saya ambil daripada blog tersebut adalah seperti:
  •   Teks pada kali ini, ingin saya highlightkan perkataan couple dalam kalangan remaja.
  •  Akhirnya, saya rasa seperti tidak ada apa-apa benefits pun bila mempunyai pasangan, dan saya      memutuskan hubungan kami dengan tanpa ada sebarang alasan. 


Ulasan:

Jika kita lihat fenomena kini, memang terdapat banyak percampuran kod bahasa yang digunakan dalam penulisan. Situasi seperti ini tidak dapat dinafikan lagi. Mungkin percampuran kod bahasa ini boleh menjadikan sesuatu penulisan itu kelihatan santai dan menarik minat orang ramai untuk membacanya. Namun, sebagai rakyat Malaysia yang cinta akan negara tidak salah sekiranya kita menggunakan bahasa ibunda kita sendiri dalam sesebuah penulisan bagi memartabatkan lagi bahasa kebangsaan kita.

Jumaat, 28 September 2012

Dialek


Situasi 3

Hari : Rabu
Tarikh : 26 September 2012

Semasa saya berada di dalam sebuah bilik kuliah bagi mengikuti kelas yang bermula pada pukul 2.00 petang. Saya telah duduk bersebelahan dengan rakan yang berasal dari Terengganu. Kebetulan pula pada waktu itu terdapat tiga orang rakan yang lain turut berasal dari Terengganu duduk bersebelahan dengan saya. Mereka berbicara mengenai tudung dengan menggunakan loghat bahasa Terengganu. Saya yang berasal dari Johor agak sukar untuk memahami perkara yang mereka bicarakan. Namun, saya berasa genbira kerana dapat mengenali dan mempelajari sedikit sebanyak loghat bahasa mereka.




Ulasan :

Penggunaan dialek dalam masyarakat amat ketara terutamanya di institut-institut pengajian tinggi kerana di sinilah tempat berkumpulnya pelbagai masyarakat yang berasal dari negeri-negeri yang berbeza. Penggunaan dialek dalam masyarakat ini menjadikan Bahasa Melayu menjadi semakin unik. Namun, penggunaannya dalam situasi formal seperti dalam mesyuarat, perbincangan dan sebagainya hendaklah dielakkan kerana penggunaan dialek ini akan menimbulkan masalah bagi mereka yang tidak memahami dialek tersebut. Hal ini akan menyebabkan halangan dalam komunikasi sehingga menyebabkan maklumat yang disampaikan terganggu.

Keindahan Bahasa


Situasi 2

Hari : Isnin
Tarikh : 24 September 2012

Hari ini saya telah berkumpul bersama-sama dengan rakan-rakan saya di rumah sewa kami. Kami hanya duduk berkumpul sambil berbual-bual mengenai keadaan semasa di sekeliling kami. Semasa sedang rancak berbual, salah seorang daripada rakan saya telah mengungkapkan perkataan ‘minah jebeng’ dalam ayatnya. Apabila ditanya maksud perkataan tersebut, rakan saya itu telah menjawab bahawa perkataan ‘minah jebeng’ bermaksud perempuan Indonesia. Rakan-rakan saya yang lain hanya tersenyum mendengarnya.

Ulasan:

Melalui perbualan kami ini, saya dapati bahawa bahasa memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan seharian kita. Bahasa juga boleh diolah dan ditukar ganti dengan perkataan-perkataan lain yang sama erti dengannya bagi mencantikkan lagi sesuatu bahasa. Namun, jika bahasa yang digunakan itu merupakan bahasa yang kasar, maka besar kemungkinan bahasa itu akan menjadi penyebab berlakunya salah faham dan pergaduahan. Oleh itu, kita perlulah pandai memilih kosa kata yang sesuai apabila ingin berbicara. 

Adab Mencelah


Situasi 1

Hari : Ahad
Tarikh : 23 September 2012

Pada hari Ahad yang lepas, saya dan rakan-rakan saya telah pergi ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan pulang ke Tanjung Malim saya telah memperhatikan dua orang adik beradik yang sedang berbual dengan ibu mereka di dalam sebuah komuter. Ketika adiknya bercerita dengan ibu mereka, kakaknya telah mencelah dalam perbualan tersebut. Si adik memarahi kakaknya kerana telah mengganggu perbualannya dengan ibu mereka. Ibu mereka hanya menasihati anak sulungnya agar membiarkan si adik menghabiskan dahulu perkara yang ingin diucapkannya.

Kata si ibu : “kakak, biarla adik tu cakap dulu. Nanti baru kakak cakap pulak”.




Ulasan:

Pada pandangan saya, adab ketika ingin mencelah ini perlu dipelajari oleh setiap orang. Hal ini kerana, adab yang dipelajari ini akan menggambarkan kesopanan seseorang yang ingin mencelah perbualan orang-orang yang berada di sekeliling mereka. Mencelah perbualan orang lain tanpa adab yang betul akan membuatkan seseorang itu menjadi marah atau mungkin tidak selesa dengan keadaan demikian. Jika seorang kanak-kanak kecil yang tidak tahu mengenai adab boleh berasa marah apabila perbualannya dicelah oleh kakaknya, apatahlagi jika kita mencelah perbualan orang dewasa.