Jumaat, 12 Oktober 2012

Cara Duduk


Situasi 15

Hari : Jumaat
Tarikh : 12 Oktober 2012

Pada hari Rabu yang lepas, saya dan rakan-rakan telah turun berjoging di sekitar kawasan rumah sewa kami pada waktu petang. Setelah penat berjoging kami duduk di tepi sungai yang terdapat di kawasan ini sambil menikmati pemandangan dan menghidup udara segar di waktu petang. Ketika ini, salah seorang rakan saya telah duduk dalam keadaan mencangkung kerana tidak mahu bajunya kotor akibat duduk di atas tanah. Seorang lagi rakan saya yang turut bersama kami telah menegur rakan saya ini dengan menggunakan perkataan atau loghat Terengganu. Perkataan yang digunakan ialah mencokoh yang bermaksud mencangkung. Kami yang telah kenal lama dapat memahami bicara yang dituturkan walaupun kami tidak berasal dari negeri yang sama.

Ulasan:

Bahasa yang dituturkan oleh setiap penutur akan menggambarkan identiti penutur tersebut. Setiap negeri di Malaysia ini mempunyai loghat bahasa yang tersendiri walaupun menggunakan bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu. Namun, apabila kita sudah biasa bercampur dengan orang yang berasal dari negeri yang berlainan dengan kita. Tutur bicara mereka yang biasa didengar akan dapat difahami dengan mudah. Keadaan ini akan menambah lagi kosa kata bahasa Melayu yang kita ketahui. 




Bahasa SMS


Situasi 14

Hari : Khamis
Tarikh : 11 Oktober 2012

Malam ini latihan drama bagi subjek kesusasteraan yang saya ambil berjalan seperti biasa. Apabila tamat latihan drama ini pada jam 11.00 malam. Saya dan rakan-rakan segera pulang ke rumah. Semasa perjalanan pulang, seorang sahabat telah menghantar pesanan ringkas ke telefon bimbit saya. Dia menaip pesanan ringkas itu dengan menggunakan bahasa yang ditulis dengan menggunakan singkatan perkataan.

Ayatnya seperti:

Sahabat : Ko wt pe 2? Sbk x?
Saya : Bru nak blik lthn drama kt kmpus. Nape?
Sahabat : Ade hal nk bncg skt ni. Psl tugsn. Ko dh pai umh t bg taw k.





Ulasan :

Sistem pesanan ringkas atau SMS merupakan satu sistem yang dibangunkan untuk menghantar sesuatu pesanan kepada seseorang dengan menggunakan tulisan tanpa perlu berkata-kata. Sistem ini dicipta seolah-olah untuk menggantikan sistem penulisan surat yang digunakan suatu masa dahulu. Penggunaan sistem ini akan menjadikan sesuatu maklumat yang ingin disampaikan itudapat disampaikan dengan cepat. Kelebihan terciptanya sistem ini tidak dapat dinafikan. Kebiasaan orang akan menggunakan bahasa dan tulisan yang ringkas untuk menyampaikan pesanan, namun penggunaan bahasa ringkasan ini perlulah dapat difahami oleh penerima pesanan. Jika tulisan yang digunakan terlalu ringkas, pesanan mungkin tidak dapat difahami oleh penerima pesanan. Oleh itu, jagalah bahasa dan pastikan tulisan yang ditaip tidak terlalu ringkas agar pesanan yang disampaikan dapat difahami dengan baik dan jelas. 

Perkataan Sama Makna Lain


Situasi 13

Hari : Rabu
Tarikh : 10 Oktober 2012

Satu perjumpaan telah diadakan oleh kumpulan saya untuk menyiapkan satu tugasan berkumpulan. Kami berkumpul untuk membincangkan perancangan rapi bagi menyempurnakan tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah kami. Perjumpaan ini diadakan berhampiran kediaman saya. Semasa perbincangan dijalankan, salah seorang rakan saya telah mengeluarkan perkataan kasut yang merujuk kepada selipar semasa sedang bersembang dengan rakan saya yang lain.

Ayatnya seperti:

Rakan 1 : Cantiknya kasut yang kau pakai tu. Kau beli kat mana?
Rakan 2 : Mana ada aku pakai kasut, kan aku pakai selipar ni.
Rakan 1 : Maksud aku selipar la. Aku dah biasa cakap selipar ni sebagai kasut jugak.

Ulasan :

Penggunaan bahasa ini sangat meluas sifatnya. Satu perkataan juga kadang kala boleh membawa pelbagai maksud. Keadaan ini bergantung kepada penutur yang menuturkannya. Perkara ini sering berlaku dalam kalangan masyarakat terutama masyarakat yang datangnya dari daerah atau negeri yang berlainan. Namun, ianya tidak menjadi penghalang untuk masyarakat tersebut berkomunikasi kerana perkara yang paling penting adalah bahasa tersebut boleh diterima oleh orang lain yang menjadi pendengar.




Selipar

                                              

Kasut

Pelbagai Bahasa


Situasi 12

Hari : Selasa
Tarikh : 9 Oktober 2012

Seminar Dahwah Islamiah Nasional telah diadakan bertempat di Dewan Merdeka PWTC. Saya merupakan salah seorang peserta yang hadir semasa seminar ini berlangsung. Banyak pengisisan yang dapat dijadikan pengajaran dalam kehidupan seharian. Suatu perkara yang membuat saya tertarik ialah percampuran penggunaan tiga bahasa dalam satu pembentangan kertas kerja. Pembentang kertas kerja ini telah menggunakan bahasa Melayu, bahasa Arab dan bahasa Inggeris dalam pembantangan kertas kerjanya. Situasi ini menjadikan pembentangannya lebih menarik untuk didengar kerana seminar ini bukan sahaja dihadiri oleh peserta dalam negara sahaja, malah turut dihadiri oleh peserta dari luar negara.




Ulasan:

Percampuran bahasa boleh membawa kesan positif dan negetif bergantung kepada tujuan penggunaannya. Jika percampuran bahasa ini digunakan dalam situasi yang dihadiri oleh hadirin dari pelbagai negera maka penggunaannya akan menjadi positif kerana penggunaan pelbagai bahasa dalam penyampaian ini akan memudahkan lagi hadirin dari luar negara untuk memahami maklumat yang disampaikan oleh penyampai. Namun, sekiranya penggunaan pelbagai bahasa ini digunakan dalam situasi yang dihadiri oleh orang-orang Melayu sahaja terutama di kawasan-kawasan pedalaman, penggunaan pelbagai bahasa ini akan menjadi salah satu faktor yang akan menyebabkan sesuatu komunikasi itu terganggu dan tidak berkesan.

Kedai Makan


Situasi 11

Hari : Isnin
Tarikh : 8 Oktober 2012

Hari ini saya pergi ke kedai makan yang letaknya di bawah rumah sewa saya. Saya ke sana untuk makan malam bersama rakan-rakan. Setelah menunggu beberapa ketika , seorang pelayan datang ke arah kami dengan membawa senarai menu di tangannya. Apabila saya meneliti senarai menu tersebut, saya dapati banyak kesilapan ejaan dalam senarai menu tersebut. Antara perkataan yang jelas salah dieja ialah perkataan ‘teh’ bertukar menjadi the.




Ulasan:

Kesalahan ejaan merupakan perkara yang biasa berlaku dalam kehidupan seharian kita. Apabila menggunakan komputer atau teknologi ini untuk menaip, kadang kala terdapat beberapa perkataan yang dieja akan berubah mengikut sistem ejaan bahasa Inggeris. Oleh itu, kita perlulah berhati-hati dan menyemak semula setiap perkataan yang dieja ini agar tidak berlaku kesalahan ejaan menurut sistem ejaan bahasa Melayu yang sebenar.