Sabtu, 6 Oktober 2012

Kata Ganti Nama Diri


Situasi 10

Hari : Jumaat
Tarikh : 5 Oktober 2012

Selepas kuliah tamat, saya segera ke tempat menunggu bas untuk pulang ke rumah. Semasa sedang menunggu bas saya terdengar perbualan beberapa orang pelajar. Mungkin mereka pelajar yang mengambil program Bahasa Arab. Mereka telah menggunakan kata ganti nama diri yang berbeza dengan Bahasa Melayu.

Pelajar 1 : Ana mahu beli makanan dulu ni.
Pelajar 2 : Ente temankan ana beli makanan la. Jom pergi.

Ulasan :

Penggunaan kata ganti nama diri sangat penting bagi menunjukkan kedudukan, taraf sosial seseorang dan sebagainya. Dalam perbualan seharian, kebiasaannya remaja akan menggunakan aku dan kau sebagai kata ganti nama diri untuk menunjukkan kemesraan dalam hubungan. Namun, penggunaan kata ganti nama diri seperti ana dan ente ini juga turut boleh digunakan dalam perbualan seharian malah penggunaannya lebih lembut berbanding dengan aku dan kau.

Salah Ejaan


Situasi 9

Hari : Khamis
Tarikh : 4 Oktober 2012

Hari ini, saya menggunakan google untuk mencari sesuatu gambar yang boleh digunakan untuk tujuan pembentangan bagi tugasan yang diberikan oleh pensyarahku. Saya tertarik dengan satu gambar yang saya perolehi. Jika kanak-kanak yang melihat gambar ini, pasti mereka boleh tersalah anggap dengan tulisan yang terdapat dalam gambar tersebut.






Ulasan :

Sistem ejaan sangat penting dalam menyampaikan sesuatu maksud kepada orang ramai. Jika kita tersalah mengeja, besar kemungkinan maklumat yang ingin disampaikan itu tidak akan difahami oleh orang ramai dan boleh juga menyebabkan berlakunya salah faham. Semaklah ejaan agar maklumat yang ingin diberikan sampai dengan betul kepada orang ramai.

Cerita ‘P’


Situasi 8

Hari : Rabu
Tarikh : 3 Oktober 2012

Petang ini, saya dan rakan-rakan duduk berkumpul di bawah sebatang pokok yang terdapat di kampus bagi menunggu waktu kuliah yang seterusnya bermula.  Sewaktu kami berbicara mengenai tugasan yang semakin banyak diberikan oleh pensyarah untuk disiapkan, salah seorang rakan saya mengadu bahawa dia berada dalam keadaan tertekan untuk menyiapkan segala tugasan yang diberikan. Rakan seorang lagi pula telah memberikan kami satu keratan kecil cerita untuk kami baca bagi menghilangkan tekanan yang dihadapi.


Ceritanya berbunyi seperti ini:

Paklong Punya Pasal, Pagi-Pagi Pakngah Pergi Pasar. Paklong Pesan Pulut Panggang. Parking Pulak Punyalah Payah. Pakngah Pun Pelik, Pasal Pulak Pagi-Pagi Payah Parking. Pakngah Pun Pusing-Pusing Perhati Parking. Pusing Punya Pusing, Pakngah Pun Pening. Penyudahnya Pakngah Parking Pinggir Parit.

Pening-Pening Pun Perut Pakngah Perlu Penuh. Pakngah Pun Pergilah Pekena Pasembor. Pasembor Pulak Punyalah Pedas. Pergh ! Pedas-Pedas Pun Pakngh Pulun. Pakngah Pulun Pelan-Pelan Pasal Pedas. Pastu Pakngah Pun Pulang.

Kami diminta membaca cerita tersebut dengan kuat. Masing-masing tergelak apabila setiap orang di antara kami membacanya. Terdapat juga rakan-rakan yang salah menyebut semasa membaca cerita ini.

Ulasan:

Bahasa juga boleh digunakan sebagai alat untuk menghilangkan tekanan. Bahasa merupakan sesuatu yang boleh di ubah mengikut situasi-situasi tertentu. Hal ini menjadikan bahasa itu semakin unik apabila digunakan dalam pelbagai cara.

Peribahasa

Situasi 7

Hari : Selasa

Tarikh : 2 Oktober 2012

Hari ini, saya masih sempat melayari internet dan membuka facebook atau muka buku untuk melihat perkembangan semasa. Zaman kini, perkembangan teknologi sangat pesat membangun. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana segala perkembangan terkini akan segera diberitahu melalui laman sesawang tersebut. Sedang asyik melihat perkembangan terkini, saya terpandang beberapa komen yang menggunakan peribahasa sebagai alat untuk berkomunikasi secara tidak formal.



Cik Nur Adilah menyelam smbil minum air la...hahaha
11 minutes ago · Like
Mohamad Sufi xpela..bak kata cikgu sediakan payung sblm hujan..hahahahahaha
5 minutes ago · Like


Ulasan :

Perkembangan turut dapat memperkembangkan lagi bahasa Melayu. Jika kita lihat situasi sekarang, tidak ramai golongan muda yang mahu menggunakan bahasa-bahasa halus seperti kiasan dan peribahasa apabila berkata-kata. Mungkin kerana tidak ramai yang faham dengan maksud tersirat di sebalik penggunaan kata-kata yang halus ini. namun, masih terdapat lagi sekumpulan kecil anak muda yang mahu menggunakan peribahasa dalam kehidupan seharian mereka. Hal ini menunjukkan satu perkembangan yang positif terhadap bahasa Melayu.

Loghat Cina

Situasi 6

Hari: Isnin
Tarikh: 1 Oktober 2012

Malam ini, latihan bagi kelas drama telah diadakan di dalam fakulti bahasa dan komunikasi. Kami diminta berkumpul di sana tepat jam 8.00 malam. Tugasan telah diberikan dan masing-masing menjalankan tugas yang diberikan dengan baik. Bagi para pelakon, mereka diminta untuk melakonkan watak-watak yang telah diberikan. Semasa latihan drama ini dijalankan, salah satu watak yang terdapat dalam drama ini telah menggunakan bahasa Melayu yang bercampur dengan loghat cina.

Ayatnya seperti:


Lu mesti cari dan bawa dia ke mali. Kalau tidak lu punya kepala putus aku penggal. Sikalang pergi cari sampai dapat!

Ulasan:

Dalam kehidupan seharian, terdapat pelbagai bahasa yang dituturkan. Bahasa Melayu yang bercampur dengan loghat Cina ini sering kita dengar apabila pergi ke kedai-kedai yang dimiliki oleh orang Cina. Penggunaannya  tidak dianggap salah dalam kalangan masyarakat Melayu kerana mereka juga sering menggunakan bahasa seperti ini. Namun, jika kita mengikut sistem bahasa yang sebenar, penggunaan bahasa seperti ini jelas salah dalam sistem bahasa Melayu.


Ahad, 30 September 2012

Tajuk Buku


Situasi 5

Hari : Sabtu
Tarikh : 29 September 2012

Kolej Za’ba telah mengadakan Karnival Kesenian Islam selama beberapa hari. Pada hari ini, saya sempat singgah di sana bersama beberapa orang rakan saya yang lain. Terdapat banyak aktiviti yang dijalankan semasa kami di sana. Selain itu, terdapat juga beberapa gerai yang menjual pelbagai jenis barangan termasuk pakaian, buku dan makanan. Saya sempat singgah di sebuah gerai yang menjual pelbagai jenis buku. Namun saya tertarik dengan tajuk dua buah buku yang dijual di sana. Buku tersebut berjudul ‘online dengan Tuhan’ dan ‘offline dengan syaitan’.




Ulasan:

Walaupun tajuk buku tersebut menggunakan percampuran bahasa, namun tajuk sebegitu mampu menarik minat pembaca untuk membelinya. Memandangkan zaman sekarang merupakan zaman yang pesat dengan perkembangan teknologi terutama penggunaan ‘muka buku’ atau ‘facebook’, perkataan online dan offline ini amat sinonim dengan teknologi tersebut. Hal ini, dapat menarik minat remaja untuk membaca.

Percampuran Kod Bahasa


Situasi 4

Hari : Khamis
Tarikh : 27 September 2012

Hari ini saya sempat membaca sebuah blog berkaitan dengan remaja. Cara penyampaiannya mudah difahami oleh pengunjung blog tersebut, namun terdapat beberapa perkataan yang menarik perhatian saya ketika sedang membacanya. Percampuran bahasa antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris membuat saya tertanya-tanya mengapa terlalu ramai remaja yang gemar menggunakan percampuran kod bahasa ini ketika menulis. Contoh percampuran kod bahasa yang saya ambil daripada blog tersebut adalah seperti:
  •   Teks pada kali ini, ingin saya highlightkan perkataan couple dalam kalangan remaja.
  •  Akhirnya, saya rasa seperti tidak ada apa-apa benefits pun bila mempunyai pasangan, dan saya      memutuskan hubungan kami dengan tanpa ada sebarang alasan. 


Ulasan:

Jika kita lihat fenomena kini, memang terdapat banyak percampuran kod bahasa yang digunakan dalam penulisan. Situasi seperti ini tidak dapat dinafikan lagi. Mungkin percampuran kod bahasa ini boleh menjadikan sesuatu penulisan itu kelihatan santai dan menarik minat orang ramai untuk membacanya. Namun, sebagai rakyat Malaysia yang cinta akan negara tidak salah sekiranya kita menggunakan bahasa ibunda kita sendiri dalam sesebuah penulisan bagi memartabatkan lagi bahasa kebangsaan kita.