Sabtu, 20 Oktober 2012

KEUNIKAN BAHASA

Situasi 20


Hari: Khamis
Tarikh: 19 Oktober 2012

Selepas kuliah saya tamat pada jam 10.00 pagi. Saya dan rakan-rakan mengambil keputusan untuk pergi ke perpustakaan untuk berbincang mengenai tugasan yang telah diberikan kepada kami. Selepas hampir dua jam kami di perpustakaan, kami mengambil keputusan untuk pulang ke kediaman masing-masing. Satu perkara yang menarik perhatianku pada ketika ini telah berlaku. Rakanku yang berasal dari Sabah mengatakan bahawa dia ingin cepat pulang kerana hendak membubut bas. Kami yang berasal dari semenanjung langsung tidak mengerti dengan apa yang dibicarakannya. Setelah kami bertanya barulah kami faham bahawa membubut itu bermaksud mengerjar.

Ulasan:

Bahasa ini luas sifatnya dan seronok sekiranya kita mengetahui banyak bahasa. Apabila kita bercampur dengan orang yang berasal dari negeri yang berbeza, kita dapat mempelajari pelbagai bahasa dan menambahkan bahasa yang kita ada dalam pengetahuan kita.



BELA = BAIKI

Situasi 19


Hari: Rabu
Tarikh: 17 Oktober 2012

Saya dan rakan-rakan pergi ke kedai yang terdapat di hadapan kampus setelah tamat kuliah kami pada pagi ini. Tujuan utama kami adalah untuk membeli beberapa keperuan dapur yang hampir habis di rumah sewa kami. Semasa melalui kedai yang menjual alatan computer, salah seorang rakan saya tiba-tiba memberitahu kami bahawa dia terlupa membawa laptopnya untuk diformat semula.

Rakan: Ala korang aku lupa la nk bawa laptop. Laptop aku tak dibela lagi.
Saya: Kau nak bela laptop buat apa?
Rakan: Maksud aku bela tu baiki la.

Ulasan:

Kadang-kala sesuatu perkataan bahasa Melayu mempunyai banyak maksud mengikut daerah atau dialek sesuatu tempat. Seperti situasi di atas, biasanya bela membawa maksud memelihara, namun bagi orang negeri Pahang mereka memaksudkan bahawa bela itu sebagai membaiki.

SEMINAR BAHASA MELAYU

Situasi 18


Hari : Selasa
Tarikh: 16 Oktober 2012

Seminar Memartabatkan  Bahasa Melayu telah diadakan di SITC, UPSI yang berlangsung selama dua hari. Sepanjang seminar ini berlangsung terdapat pelbagai maklumat-maklumat baharu yang boleh saya dapati.banyak ilmu yang telah dikongsikan oleh setiap pembentang bagi memertabatkan lagi Bahasa Melayu di negara-negara serantau. Dalam seminar ini terdapat juga pembentang yang berasal daripada beberapa buah negara seperti Indonesia dan Singapura. Mereka juga berusaha bagi memperkembangkan lagi Bahasa Melayu. Setiap pembentangan disampaikan dalam Bahasa Melayu, namun terdapat juga sedikit perbezaan sebuatan antara pembentang dari negara Malaysia, Singapura dan Indonesia. Perbezaan ini telah menjadikan bahasa Melayu menjadi lebih cantik.



Ulasan:

Banggalah dengan bahasa kita kerana bahasa menunjukkan sesuatu bangsa itu. Walaupun Malaysia, Indonesia dan Singapura menggunakan bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu, namun masih terdapat beberapa perbezaan daripada segi kosa kata dan sebutan yang jelas untuk mencerminkan identiti setiap negara. Keadaan ini yang menjadikan bahasa itu lebih menarik untuk didengari. 

SENYUMLAH

Situasi 17

Hari: Ahad
Tarikh: 14 Oktober 2012

Hari ini saya dan rakan-rakan dalam perjalanan untuk pergi ke Baling, Kedah. Kami melalui lebuh raya utara-selatan untuk sampai ke destinasi yang kami tuju. Semasa melintasi tol untuk membayar tambang perjalanan kami, terdapat seorang wanita yang menjaga tol tersebut. Rakan saya dengan ramah mesranya menegur wanita tersebut dengan senyuman semasa membuat pembayaran. Namun, senyuman dan tegurannya hanya dibalas dengan riak muka yang masam sahaja.


Ulasan:

Senyuman itu sedekah. Tidak salah kita memberikan senyuman kepada orang lain. Sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai sifat nilai-nilai murni yang baik, kita harus menunjukkan sikap yang baik kepada orang ramai. Sikap yang baik ini akan disenangi oleh setiap orang yang melihatnya. Oleh itu, belajarlah untuk berbudi bahasa bagi mencerminkan sikap rakyat Malaysia yang sopan santun dan mempunyai berbudi pekerti yang baik.








SALAH FAHAM

Situasi 16


Hari: Sabtu
Tarikh: 13 Oktober 2012

Hari ini aku bersama kumpulan tugasanku telah pergi ke Kedah untuk menyiapkan kajian lapangan kami. Semasa perjalanan ke sana, kami telah singgah di rumah kakak kepada kawanku. Kakak kawanku bersembang dengan adiknya dengan menggunakan loghat Kedah. Kami agak sukar untuk memahaminya. Kakak kawanku itu telah bertanya kepada adiknya sama ada adiknya itu hendak ke kampung Tiak atau tidak. Bagi aku dan rakan-rakan yang lain, kami menganggap bahawa Tiak yang disebut itu merupakan nama orang. Tetapi rupanya Tiak tersebut merupakan nama tempat iaitu sebuah kampung yang terdapat di Kedah.

Ulasan:

Sesuatu perkataan atau bahasa yang digunakan boleh mengelirukan pendengar terutamanya bahasa yang digunakan merupakan bahasa dalam bentuk loghat. Oleh itu, kita sebagai pendengar janganlah terlalu cepat menilai atau membuat kesimpulan sekiranya perkataan yang didengar itu tidak kita fahami. Sebaiknya selidik dan bertanyalah dahulu sebelum membuat sesuatu kesimpulan.